Lelaki dan perempuan mempunyai peranan dan tanggungjwab yang tertentu di dalam Islam. Allah berfirman, “Orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka adalah penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang makruf, mencegah kemungkaran, mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah ayat 71)
Salah satu tanggungjawab yang wajib dilakukan ialah memelihara adab dan kesopanan dalam aspek pemakaian dan pergaulan. Wanita dan lelaki wajib menutup aurat dalam batas-batas yang tertentu. Dalam konteks wanita, Allah melarang wanita Islam dari tabarruj jahiliah melalui firmanNya, “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj jahiliah seperti orang-orang jahiliah terdahulu...” (Surah Al-Ahzab ayat 33)
Berhubung dengan ayat ini, Imam Mujahid berkata: “Suatu ketika dahulu, golongan wanita berjalan di hadapan lelaki (tanpa segan silu). Inilah yang dimaksudkan sebagai tabarrujul jahiliah.” Imam Qatadah pula berkata: “Suatu ketika dahulu, kaum wanita berjalan di hadapan lelaki dengan gaya yang mengghairahkan. Inilah yang dimaksudkan dengan tabarrujul jahiliah yang terdahulu”. Imam Muqatil bin Hayyan pula berkata: “Tabarruj berlaku apabila kaum wanita menutup kepala mereka dengan kain tudung tetapi masih mendedahkan leher, rantai dan subang mereka”. (Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa)
Ayat ini tidak bermaksud untuk mengongkong pergerakan wanita Islam. Ia juga tidak bermaksud, tempat bagi kaum wanita hanyalah di dalam rumahnya sahaja kerana Nabi pernah mendoakan agar Ummu Haram ra dapat keluar berperang di lautan bersama-sama dengan tentera-tentera Islam yang lain. Tambahan dari itu, Khalifah Omar Al-Khattab ra pernah melantik seorang wanita yang bernama Ummu As-Syifa binti Abdullah menjadi penyelia di pasar Madinah. Islam mengizinkan wanitanya keluar rumah untuk suatu keperluan yang baik, seperti mencari ilmu sama ada yang fardu ain atau fardu kifayah, menziarahi ibu bapa serta mencari rezeki yang halal demi memenuhi keperluan hidup, dengan batas-batas yang telah ditetapkan. Ayat ini sebenarnya bertujuan untuk memuliakan kaum wanita dan menyuruh mereka agar sentiasa menjaga kemuliaan itu di samping memelihara sebarang kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka, seperti kecantikan.
Menutup aurat bukannya lambang penindasan bagi wanita sebaliknya lambang ketinggian harga diri yang tidak dipentingkan oleh wanita jahiliah. Islam merupakan agama yang menekankan akhlak dan adab di dalam semua perkara termasuk di dalam aspek pemakaian. Umat Islam, lelaki dan perempuan, yang sudah baligh wajib menutup aurat mengikut batas yang telah ditetapkan agama. Berhubung dengan wanita Islam, di antara ayat yang menjelaskan tentang batas-batas auratnya ialah firman Allah di dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: ‘Hendaklah mereka memelihara pandangan mereka dan kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan kecuali yang biasa ternampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain kudung ke dada mereka, dan jangan menampakkan perhiasan kecuali kepada suami mereka, ayah mereka, ayah suami mereka, putera-putera mereka, putera-putera suami mereka, saudara-saudara lelaki mereka, putera-putera saudara lelaki mereka, putera-putera saudara perempuan mereka, wanita-wanita mereka, budak-budak yang mereka miliki, pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita’.”
Seperti yang telah disebutkan, ketika ayat ini diturunkan, kaum wanita membudayakan sejenis pakaian tudung yang menutupi bahagian kepala tetapi masih mendedahkan leher, telinga dan bahagian atas dada mereka. Justeru ayat ini diturunkan agar kaum wanita memakai tudung kepala yang dilabuhkan sehingga menutupi bahagian-bahagian itu. Hal ini telah disebutkan oleh Imam Qartubi di dalam Al-Jamik Li Ahkamil Quran. Walau bagaimanapun di dalam berpakaian, mereka boleh mendedahkan “(perhiasan) yang biasa ternampak daripadanya.” Abdullah ibn Abbas mentafsirkannya sebagai “muka dan dua tapak tangan.” Abdullah ibn Omar mentafsirkannya sebagai “muka dan dua tangan.” Lebih dari itu, perhiasan yang terdapat di bahagian muka dan dua tangan seperti cincin, celak, inai dan seumpamanya, boleh didedahkan ketika berdepan dengan yang bukan muhrim. Kesemua pendapat ini disebutkan oleh As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir.
Islam tidak menghalang wanita-wanitanya berpakaian mengikut fesyen dan suasana asalkan ia menutup aurat seperti yang telah dijelaskan, di samping tidak menjolok mata. Hamka di dalam Tafsir Al- Azhar berkata: “Tidaklah kesemua pakaian Barat itu ditolak oleh Islam dan tidak pula seluruh pakaian tempatan negeri kita dapat diterima. Kebaya Jawa yang menampakkan sebahagian dada tanpa selendang adalah termasuk pakaian yang dilarang mengikut pandangan Islam.”
Beberapa golongan di Barat mula mengagumi ajaran Islam berhubung dengan wanitanya. Sebagai contoh, R. Stevenson telah menulis di dalam Toronto Star bertarikh 23 Januari, 2002 berhubung dengan etika pemakaian wanita Islam. Beliau berkata: “Ketika saya dan rakan-rakan sedang makan malam di sebuah restoran, kami duduk bersebelahan dengan tiga orang wanita muda. Tiba-tiba masuklah dua orang wanita Islam dengan pakaian yang agak konservatif dan duduk bersebelahan dengan mereka. Kami dapat mendengar ketiga-tiga wanita tadi berbisik-bisik sesama sendiri berhubung kedua-dua wanita Islam itu: ‘Mengapa mereka berpakaian seperti itu...? Saya bersimpati dengan mereka......!’ Ketiga-tiga wanita (Barat) itu akhirnya membayar bil dan terus beredar. Mereka memakai seluar yang ketat, skirt yang singkat, kasut bertumit tinggi, gincu yang tebal dan bahagian dada mereka didedahkan secara yang mengghairahkan. Kami alihkan pandangan kami kepada kedua-dua wanita Islam tadi. Tudung mereka yang hitam menzahirkan peribadi mereka yang bersopan santun. Gaya mereka nampak asli. Pakaian mereka, walaupun konservatif, menampakkan sifat kewanitaan yang indah. Berpakaian secara sopan menakutkan wanita Barat. Kenapa? Adakah kerana mereka tidak mahu kehilangan hak untuk menunjuk-nunjuk......? Selepas kami berbincang tentang isu ini, kami dapati, wanita-wanita Islam berjaya membebaskan diri mereka dari perangkap fesyen tanpa perlu menunjuk-nunjuk, bersaing, berbelanja lebih dan berdiet untuk menarik perhatian kaum lelaki atau wanita. Kami dapati kedua-dua wanita Islam itu lebih menarik jika dibandingkan dengan ketiga-tiga wanita Barat tadi. Penonjolan seks di dalam masyarakat kita sudah menjadi suatu budaya arus perdana sehingga kita menganggap adab dan sopan santun suatu kemunduran. Dalam konteks jangka panjang, apabila kaum lelaki melihat secara lebih jauh, mengatasi seluar ketat dan tumit tinggi, mereka akan mendapati bukan keyakinan diri sebaliknya perasaan terdesak untuk mendapat perhatian (yang menyebabkan wanita-wanita Barat begitu ghairah dengan fesyen). Wanita yang mementingkan adab dan kesopanan tidak akan terperangkap dengan suasana yang memperdayakan ini. Mereka berbangga dengan apa yang mereka miliki.... Ingatlah ini apabila anda bersimpati dengan wanita-wanita Islam”.
Perubahan sikap serta peranan wanita pada hari ini telah memberi kesan negatif kepada masyarakat. Wanita moden didapati lebih cenderung untuk melakukan jenayah dan keganasan berbanding dengan zaman sebelum ini, mengikut satu kajian yang dilakukan oleh pihak Federal Bureau of Investigation (FBI) di Amerika. Mengikut akhbar Daily Telegraph, London, bertarikh 16 September 1971, ramai pakar berpendapat peningkatan kes jenayah di kalangan kaum wanita ini disebabkan oleh penagihan dadah dan peranan wanita yang semakin berubah pada hari ini.
Tabarrujul jahiliah telah sampai ke tahap yang amat membimbangkan pada hari ini. Pergaulan dan aktiviti seks bebas telah menjadi satu industri besar yang mencengkam masyarakat yang dikatakan maju pada hari ini. Laporan oleh Inter Press Service bertarikh 19 Ogos, 1998 menunjukkan, 2-14% dari kemasukan kasar negara-negara di Asia Tenggara adalah dari industri seks, mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Berdasarkan kajian ini industri pelacuran di Thailand dianggarkan mendatangkan kemasukan sebanyak $22.5-$27 bilion dari tahun 1993-1995, dan di Indonesia jumlahnya dianggarkan $1.2-$3.3 bilion setahun. Mengikut satu anggaran yang dilaporkan di dalam Global Child Health News bertarikh 4 Julai 1995, lebih kurang 10% daripada wanita di Thailand terlibat di dalam industri ini. Di Amerika pula, USA Today bertarikh 20 Ogos, 1997 melaporkan, rakyat Amerika membelanjakan wang sebanyak $8-$12 bilion untuk membeli dan melanggan bahan-bahan lucah.
Teknologi moden telah digunakan sepenuhnya untuk mengembangkan industri ini. Di Amerika, mengikut Adult Chamber of Commerce, kemasukan dari industri seks melalui internet sahaja berjumlah $6 bilion. Di dalam USA Today bertarikh 20 Ogos 1997 dilaporkan, CyberErotica, salah satu laman web lucah yang popular di internet, mengandungi lebih daripada 10,000 gambar-gambar lucah dengan 1,000 gambar-gambar baru ditambah setiap minggu, dan keahliannya berjumlah 50,000 orang. Setiap hari lebih kurang 250,000 orang menziarahi laman web ini dan pemiliknya memperolehi $800,000 sebulan hasil dari perniagaan ini.
Tabarrujul jahiliah yang melahirkan seks bebas ini mempunyai padahnya. Ia menjadi salah satu sebab utama penyakit AIDS berkembang sehingga menjadi wabak yang tidak dapat dikawal lagi pada hari ini. Kesannya ke atas sistem ekonomi, sosial dan kekeluargaan tidak terkira besarnya. Seks bebas ada mukadimah atau rangsangannya dan di antara mukadimah itu ialah tabarruj (iaitu menghiaskan diri dan mendedahkan tubuh secara yang menggiurkan), pergaulan bebas serta sikap kaum lelaki yang tidak bertanggungjawab. Justeru Islam menyuruh kaum wanita memelihara dirinya dari kecantikan yang memperdayakan dan mengarahkan kaum lelaki agar tidak melihat kaum wanita sebagai simbol seks. Allah berfirman, “Katakanlah kepada kaum lelaki dari golongan yang beriman: hendaklah mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka.” (Surah An-Nur ayat 30)
(Untuk perincian dapatkan Empayar Minda Muslim karangan Dr. Danial bin Zainal Abidin)Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)
Beliau ialah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,Pengamal Perubatan selama 20 tahun,Motivator Radio Malaysia Pulau Pinang selama 10 tahun,Penulis 10 buah buku,Pemudah Cara Pelbagai Korporat dan Institusi,Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa.Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Khidmat Runding
E-mel: dzcsyifa@streamyx.com
Ditulis oleh Zulfadhli Al Fahmi Abdul Hamid
No comments:
Post a Comment